Fasha Sandha dimadukan? Benar, itulah watak yang bakal dimainkan Fasha
Sandha sebagai Hana, isteri mithali yang memendam rasa apabila
dikejutkan dengan kehadiran orang ketiga dalam sebuah drama rantaian di
slot Lestary berjudul "Selamat Pengantin Madu".
Drama yang
menemui penonton TV3 bermula esok, disiarkan setiap hari Rabu &
Khamis, jam 9 malam. Bagaimanapun bermula Oktober nanti, slot ini hanya
akan bersiaran setiap Khamis saja, 9 malam.
Drama ini dibintangi
pelakon terkenal seperti Fasha Sandha, Aiman Hakim Ridza, Eina Azman,
Kuza, Falisha Crossley, dan Ieda Moin.
Selamat Pengantin Madu
mengisahkan Hana (Fasha Sandha) yang mengecapi kebahagiaan rumah tangga
bersama suaminya, Zulkifli (Aiman Hakim Ridza) tiba-tiba dilanda
tamparan hebat dengan kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka. Lebih
buruk apabila orang ketiga itu sah bergelar madunya.
Bersiaran
sebanyak 13 episod, drama arahan Ibrahim Ilyas untuk produksi Pesona
Pictures itu mempertaruhkan Fasha Sandha dan Aiman Hakim Ridza sebagai
teraju utama Selamat Pengantin Madu. Penuh dengan elemen kekeluargaan
dan cabaran bermadu, drama itu dilihat bakal mendapat tempat di hati
penonton.
Fasha Sandha membawakan watak Hana seorang isteri
mithali yang melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri
kepada suaminya yang tersayang, Zul. Dalam usia 30-an, Hana merasakan
dia telah mengecapi segala impiannya terutama dalam memiliki sebuah
keluarga bahagia.
Hana juga dikurniakan dua cahaya mata iaitu
Isya dan Shafik. Hidup mereka juga agak mewah kerana Zul memegang
jawatan tinggi di sebuah syarikat swasta. Hana digambarkan sebagai
seorang wanita yang taat kepada suami dan hanya meluangkan masa
lapangnya bersama keluarganya sahaja. Malah undangan rakan sepejabatnya
terbatas apabila di luar waktu kerja.
Zul pula memang menjalankan
tugasnya sebagai suami yang bertanggungjawab. Dilihat sentiasa ceria
dan suka berseloroh, menjadikan Zul seorang yang mudah didampingi. Namun
sebermula kisah ini dikembangkan, wujud seorang lagi watak antagonis
lakonan Eina Azman sebagai Masmira.
Kewujudan wataknya yang
mulanya misteri kini menjadi tamparan hebat buat Hana. Apatah lagi
apabila menerima sepucuk surat menceritakan wanita itu telah
diperisterikan Zul.
Wanita mana yang sanggup dimadukan? Lantas
dunia Hana gelap seketika cuba mencari kekuatan dalam menempuh dugaan
dan pembohongan Zul.
Sebaik mana juga Hana namun pasti ada
sekelumit perasaan hati yang terguris. Namun, dengan jalan cerita yang
unik, Hana menerima nasihat rakannya agar cuba menerima baik takdir yang
menimpanya dengan melakukan perubahan positif.
Sedar bahawa
anak-anaknya tidak boleh menerima kenyataan bahawa Zul telah menduakan
ibu mereka menyebabkan Hana simpati dan tetap cuba menjayakan rumah
tangganya. Namun niat baik Hana bakal berhadapan jalan sukar apabila
Masmira menginginkan yang sebaliknya.
Tamak dengan kasih sayang
dan menginginkan perhatian penuh Zul, Masmira cuba memiliki Zul
sepenuhnya. Mampukah Hana bertahan? Apakah rancangan jahat Masmira?
Saksikan "Selamat Pengantin Madu" di slot Lestary setiap hari Rabu dan
Khamis jam 9 malam hanya di TV3 untuk mengetahui apakah yang bakal
terjadi kepada keluarga Hana.-
bharian
Belum ada tanggapan untuk "GEMPAR!! Fasha Sandha Kini Dimadukan ?"
Post a Comment